Ipoh: Lapan lelaki beragama Islam termasuk seorang penjawat awam ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di sebuah pusat snuker di Jalan Raja Ekram, Taman Jubilee di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIPk, Asyraf Ismail berkata, serbuan menerusi Ops Ponteng yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JAIPk itu dilakukan selepas pihaknya menjalankan risikan selama seminggu terhadap premis berkenaan.
Menurutnya, siasatan mendapati pusat snuker tersebut dipercayai menjadi lokasi tumpuan individu yang tidak berpuasa sepanjang Ramadan selain turut dikaitkan dengan kegiatan perjudian.
Daripada lapan individu yang ditahan berusia antara 36 hingga 59 tahun, lima daripadanya disyaki melakukan kesalahan tidak menghormati Ramadan. Seorang lagi ditahan kerana berjudi, manakala dua lagi disiasat kerana bersubahat dalam kesalahan berjudi serta tidak menghormati Ramadan.
Asyraf berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 24 Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992 bagi kesalahan tidak menghormati Ramadan dan Seksyen 26 enakmen sama bagi kesalahan berjudi.
Beliau turut memaklumkan bahawa pekerja premis yang bukan beragama Islam akan disiasat di bawah Seksyen 61 kerana disyaki bersubahat melakukan kesalahan berkenaan.
“Berdasarkan risikan yang dijalankan, premis ini dipercayai menjadi tempat individu tidak berpuasa berkumpul. Ketika serbuan dilakukan, terdapat pelanggan yang didapati makan, minum dan merokok di dalam premis.
“Malah difahamkan premis tersebut turut menyediakan mi goreng secara percuma kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui semasa operasi itu.
Dalam operasi sama, seorang pengunjung yang bekerja sebagai penghantar makanan cuba memberi alasan bahawa dia singgah ke premis berkenaan hanya untuk menggunakan tandas walaupun mendakwa sedang berpuasa. Namun alasan itu tidak diterima selepas pihak penguat kuasa menemui bukti visual menunjukkan lelaki itu merokok di dalam premis.
Seorang lagi pengunjung pula pada mulanya mendakwa merokok tidak membatalkan puasa, namun hanya berdiam diri selepas ditunjukkan gambar yang merakam tindakannya merokok di lokasi tersebut.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguat Kuasa Undang-Undang Syariah JAIPk bagi membantu siasatan lanjut.