Penyanyi Adira Suhaimi tampil mengulas mengenai ketidakhadirannya ke majlis perkahwinan bekas suaminya, Datuk Seri Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.
Adira atau nama penuhnya Siti Adira Suhaimi, 35, berkata perkara itu bukanlah isu yang perlu diperbesarkan memandangkan dia tidak pernah menghalang Datuk Red daripada bertemu dengan anak-anak mereka.

“Isu saya tidak hadir ke majlis perkahwinan dia bukanlah satu perkara yang besar sehingga perlu diperbesarkan atau diperkatakan secara berlebihan.
“Apa yang penting sekarang adalah saya masih memberi peluang kepada anak-anak untuk berjumpa dengan dia.
“Jadi, dalam menjaga amanah empat orang anak ini, tanpa mengganggu atau menyusahkan sesiapa, saya harap perkara atau isu seperti ini tidak lagi mengganggu saya,” katanya kepada Gempak.
Adira berkata demikian ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan pelakon Cinta Yang Di Akhir Garisan 2.0 di Istana Budaya pada Khamis.

Dalam masa sama, pelantun lagu Khianat Yang Terpilih itu turut memohon agar diberikan ruang untuk membesarkan anak-anak serta memberi tumpuan kepada kerjayanya.
“Harapan saya, berilah saya ruang untuk mencari rezeki dengan tenang dan membesarkan anak-anak saya dengan tenang. Bukan mudah untuk menjaga empat orang anak.
“Saya mencari rezeki untuk menampung segala keperluan mereka, daripada pendidikan, tempat tinggal, makan minum, pakaian hinggalah kepada kesihatan. Semua itu saya lakukan tanpa menyusahkan atau mengganggu sesiapa.
“Jadi, saya minta janganlah ganggu saya juga kerana saya tidak pernah mengganggu sesiapa. Berilah saya peluang untuk menjalani kehidupan sebagai seorang ibu dan fokus kepada kerjaya saya.
“Saya tidak mahu isu seperti ini terus berpanjangan kerana anak-anak saya pun sudah besar dan boleh membaca,” ujarnya.
Terdahulu, isu tersebut menjadi perhatian ramai selepas Datuk Red memaklumkan bahawa Adira tidak membawa anak-anak mereka ke majlis resepsi perkahwinannya.

Untuk rekod, Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebelum sah bercerai pada 24 April 2024.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3.
