Pelakon Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin daripada tiga pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM2.8 juta.
Keputusan itu dibuat selepas Hakim Rosli Ahmad memutuskan bahawa pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan yang dikenakan ke atas Zizie.
Sebaik keputusan diumumkan, pelakon itu dilihat tidak dapat menahan sebak sebelum mengalirkan air mata dan ditenangkan oleh ahli keluarganya yang hadir di mahkamah.
Ketika ditemui selepas prosiding, Zizie meluahkan rasa syukur dan lega selepas melalui proses perbicaraan yang berlarutan selama tujuh tahun.
“Saya harap suami saya berada di sini bersama saya. Saya membayangkan beliau berada di sebelah saya ketika keputusan diumumkan.”
Kes tersebut berkaitan dakwaan rasuah yang melibatkan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Bagi pertuduhan pertama, Zizie didakwa membantu Bung Moktar memperoleh wang tunai berjumlah RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, yang didakwa sebagai balasan bagi mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan bernilai RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Untuk pertuduhan kedua pula, Zizie didakwa bersubahat memperoleh suapan sebanyak RM262,500 melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya.
Sementara itu, pertuduhan ketiga membabitkan dakwaan menerima RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ).
Kesemua kesalahan itu didakwa berlaku di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati pada Jun 2015 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohd Fadhly Mohd Zamry, manakala Zizie diwakili peguam K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.
Sebelum ini, pada 16 Januari, Mahkamah Sesyen turut melepas dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada pertuduhan sama selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes susulan pemergiannya pada 5 Disember 2025.
