KUALA LUMPUR – Pelakon Fattah Amin mengakui dia terpaksa menegur seorang individu yang meninggalkan komen tidak wajar ketika sesi siaran langsung yang dilakukannya baru-baru ini.
Menurut Fattah, kejadian itu berlaku ketika dia sedang melakukan siaran langsung bagi mempromosikan produk di booth jualannya. Ketika itu, terdapat komen yang tidak sepatutnya muncul daripada sebuah akaun palsu.

Beliau berkata, tindakan menegur individu tersebut bukan bertujuan untuk memarahi, sebaliknya sekadar memberi nasihat agar ruang siaran langsung yang digunakan untuk bekerja tidak disalahgunakan dengan kata-kata negatif.
Katanya, sesi siaran langsung itu merupakan ruang untuknya berinteraksi dengan peminat serta pelanggan, selain menjadi platform mencari rezeki. Oleh itu, beliau berharap orang ramai dapat menghormati situasi tersebut.
Fattah berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media program raya anjuran Astro yang berlangsung di Pavilion Hotel Kuala Lumpur.
Dalam masa sama, Fattah turut mengakui berasa terkesan dan bersimpati terhadap isterinya, Amira Othman, yang sering menjadi sasaran kecaman segelintir netizen di media sosial.
Terdahulu, tindakan Fattah menegur individu yang meninggalkan komen negatif ketika sesi siaran langsung tersebut telah menarik perhatian ramai, malah ada pihak yang memuji sikapnya kerana mempertahankan isterinya.