Usahawan Datuk Red menjelaskan bahawa ketiadaan empat orang anaknya bersama penyanyi Adira Suhaimi pada majlis persandingan yang berlangsung malam Sabtu bukan berpunca daripada sebarang halangan.
Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu, 46, berkata dia sudah mengetahui lebih awal mengenai perkara tersebut. Menurutnya, tiada istilah bekas isterinya, Adira, menghalang anak-anak mereka daripada hadir, sebaliknya faktor penjagaan menjadi sebab utama kerana kesemua anak mereka masih kecil.

“Anak-anak saya masih kecil dan mereka perlukan perhatian. Saya pula sudah tentu sibuk pada majlis itu, jadi tak dapat nak beri tumpuan kepada mereka.
“Lagipun tak ada sesiapa yang boleh bawa mereka ke sana pada ketika itu. Saya tak nak keruhkan keadaan, memang sebab itu saja,” katanya kepada mStar.
Adnan mengakui berasa terkilan kerana empat anaknya tidak dapat bersama pada hari bahagianya. Namun begitu, dia tetap bersyukur kerana anak-anaknya yang lain dapat memeriahkan majlis tersebut.

“Memang saya berharap anak-anak saya ada pada hari bahagia saya. Tapi kalau dah tak boleh datang, nak buat macam mana?
“Saya tak nak besarkan isu ini. Kalau soal penjagaan anak, sebenarnya saya boleh saja sediakan orang untuk jaga mereka di sana,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adnan turut memaklumkan bahawa Adira turut menerima jemputan ke majlis berkenaan. Bagaimanapun, dia memahami sekiranya bekas isterinya itu mempunyai komitmen lain.
“Saya ada jemput Adira. Isteri saya pun ada jemput dia juga. Tapi mungkin dia ada kerja atau hal lain, saya faham,” katanya.
Berkongsi mengenai majlis persandingan tersebut, Adnan berkata pada asalnya dia hanya merancang untuk mengadakan majlis secara sederhana. Namun, dia tidak menyangka menerima tajaan penuh daripada pelbagai pihak.

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Asalnya saya nak buat kecil-kecilan saja, tapi rezeki isteri saya, ramai yang nak menaja.
“Memang semuanya ditaja. Saya tak keluar duit satu sen pun untuk bahagian saya,” jelasnya.
Selepas itu, Adnan dan isteri baharunya bakal berbulan madu di Pulau Langkawi, Kedah selama tiga hari. Percutian tersebut turut ditaja sepenuhnya.

Sementara itu, Adnan tidak menolak kemungkinan sekiranya dikurniakan cahaya mata bersama isteri baharunya.
“Kalau ada rezeki, saya tak tolak. Saya pun teringin nak ada zuriat dengan isteri saya sekarang,” kongsinya.
Untuk rekod, Adnan dan Rohanita selamat disatukan pada 3 Julai lalu dalam sebuah majlis tertutup di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Adnan dan Adira Suhaimi mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebelum bercerai pada 24 April lalu.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 9, Asan, 8, Anggun, 7, dan Ayob, 4 tahun.
