Pelakon dan usahawan Syatilla Melvin berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaan kesihatan bapanya, Amirol Melvin Abdullah, yang sebelum ini dilaporkan mengalami masalah jantung.
Memetik laporan Kosmo!, Syatilla memaklumkan keadaan bapanya masih belum pulih sepenuhnya dan kini hanya bergantung kepada pengambilan ubat-ubatan. Menurutnya, sebarang prosedur atau pembedahan dilihat terlalu berisiko untuk dilakukan berikutan faktor usia bapanya yang sudah 80 tahun.

Syatilla berkata, dia sekeluarga tidak pernah berputus asa dan terus mendoakan agar segala urusan bapanya dipermudahkan.
“Nak cakap baik itu tidaklah tetapi saya tak putus-putus mendoakan supaya Allah mudahkan urusan. Insya-Allah sebab umur dia pun sudah 80 tahun.
“Jadi, kalau nak buat sebarang prosedur atau pembedahan, memang sangat berisiko. Sekarang hanya bergantung pada ubat dan doa orang ramai.
“Sekarang jaga ayah bergilir-gilir dengan adik-beradik lain. Seminggu saya jaga dan minggu seterusnya adik-beradik lain pula tapi kalau ada masa lapang, memang semua akan balik,” katanya seperti yang dipetik.

Menurut Syatilla, masalah kesihatan bapanya bermula selepas disahkan menghidap leukemia atau kanser darah yang kemudiannya merebak ke organ-organ lain.
“Sebenarnya ayah mula sakit disebabkan leukemia, kanser darah. Daripada kanser darah itu, mula merebak ke organ lain.
“Jantung dia pun semakin lemah, tahap fungsi pula ketika ini hanya 27 peratus dan buah pinggang juga sudah lemah. Memang banyak benda berkait-kait tetapi keadaannya ketika ini stabil,” ujarnya.

Syatilla turut memaklumkan bapanya kini sudah dibawa pulang ke rumah selepas beberapa hari berada di hospital. Menurutnya, doktor juga sudah tidak dapat melakukan sebarang tindakan lanjut dan meminta keluarga menjaga bapanya di rumah.
Dalam pada itu, pelakon filem Surah Buat Maisarah itu turut meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan suami yang sentiasa mengambil berat terhadap keadaan bapanya.
Menurut Syatilla, suaminya yang juga pelakon, Shaheizy Sam, banyak membantu terutama dari segi tenaga memandangkan mereka tidak mempunyai adik-beradik lelaki.
