Pelakon Amyza Aznan menzahirkan kerinduan yang mendalam terhadap anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Izhar, yang telah meninggal dunia lima bulan lalu.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Amyza memuat naik sebuah video yang diiringi lagu Gelombang nyanyian asal Salamiah Hassan. Perkongsian itu menyentuh hati ramai apabila jelas menggambarkan kerinduannya terhadap arwah anak.

Menurut pelakon drama Andai Tiada Dia itu, dia masih lagi menghubungi dan menghantar mesej kepada Andre meskipun menyedari anak kesayangannya itu telah tiada.
“Hello, assalammualaikum Andre Mikhail. Dah lima bulan mommy call, text Andre, tapi tak jawab… mommy rindu anak!!!,” tulisnya.

Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan selebriti tampil memberikan kata-kata semangat serta mendoakan agar Amyza terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.
“Hantar pelukan kepada awak,” tulis penyanyi Nurul Depp.
Seorang netizen turut meluahkan rasa simpati dengan berkata:
“Anak hilang depan mata kejap pun teringat bagai nak gila, apatah lagi hilang selamanya.
“Kadang kita memang reda… kita ikhlas… kita terima kenyataan… cuma rindu yang buat kita sedih.
“Betullah sakitnya rindu pada insan yang sudah pergi selamanya,” tulisnya.

Untuk rekod, Andre Mikhail menghembuskan nafas terakhir pada 23 Februari lalu di Hospital Kuala Lumpur selepas disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga sejak Februari tahun lalu.
Dalam masa yang sama, Amyza turut diuji apabila anak keduanya, Adrian Adam Kharil Izhar, disahkan menghidap kanser tulang pada awal Februari lalu.
Sumber: Instagram
