Johan Ghazali Tolak Tawaran RM100,000, Enggan Terlibat Dalam ‘Marketing’ Berunsurkan Drama Murahan
Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali, mendedahkan tangkap layar perbualannya dengan seorang pempengaruh yang didakwa menawarkan strategi pemasaran berunsurkan drama murahan.

Tolak tawaran RM100,000
Menerusi perkongsian di Instagram Story (IG Story), Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo memaklumkan bahawa dia menolak tawaran bernilai RM100,000 yang dikemukakan kepadanya.
Menurut Jojo, dia tidak akan sesekali melibatkan diri dalam sebarang drama atau strategi pemasaran yang tidak memberikan manfaat kepada penonton.

“Aku nak ingatkan, jangan sesekali membazir masa melayan marketing atau drama sampah.
Masa kita di dunia ini sangat singkat. Daripada kau bazir masa dekat perkara yang dibuat-buat macam ini, pergilah buat benda lain.
Selagi ada orang layan, selagi itulah ada orang yang akan buat marketing sampah macam ini.”

Jojo turut menjelaskan bahawa nilai bayaran bukanlah keutamaan dalam menerima sesuatu tawaran. Sebaliknya, dia lebih memilih kandungan yang mampu menyampaikan mesej positif kepada para pengikutnya.
“Tak kisahlah kau bagi aku RM5, RM10 atau RM100 juta, aku tidak akan buat.
Aku tidak akan buat drama yang tak beri faedah kepada orang yang menonton.”

Difahamkan, Jojo ditawarkan untuk berkolaborasi menghasilkan kandungan bersama beberapa pempengaruh lain dengan hanya berpura-pura mencetuskan drama tanpa perlu mempromosikan sebarang produk.
Bagaimanapun, Jojo menyifatkan tawaran tersebut sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan hanya membazirkan masa orang ramai.
Sumber: Instagram @johanghazali_
