Pelakon Bella Astillah mencipta rekod peribadi apabila berjaya menamatkan larian sejauh 17 kilometer sempena Larian Kesyukuran yang dianjurkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, berkata penyertaannya dalam larian tersebut adalah sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap misi Syed Saddiq untuk mengumpulkan dana sebanyak RM200,000 bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Hari ini pencapaian peribadi saya. Larian pertama 17km. Sebelum ini, paling jauh hanya 8km.
“Saya sertai larian ini sebagai tanda sokongan dan solidariti untuk misi Larian Kesyukuran YB Syed Saddiq. Walaupun saya agak lambat sedikit, saya tetap gembira dapat sama-sama mengambil bahagian,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Bella turut mengucapkan tahniah kepada Syed Saddiq selepas berjaya mengumpulkan sumbangan melebihi sasaran asal menerusi larian berkenaan.
“Tahniah kepada YB Syed Saddiq kerana berjaya mengumpulkan lebih dari sasaran hasil sumbangan orang ramai melalui larian ini. Semoga segala usaha dan sumbangan yang diberikan membawa manfaat kepada lebih ramai yang memerlukan. Insya-Allah.
“Saya tidak akan lupa ada pak cik itu cakap saya slow macam siput,” ujarnya.

Dalam hantaran tersebut, Bella yang dipercayai memulakan larian dari Merlimau, Melaka turut ditemani sekumpulan individu termasuk seorang rakan yang berlari sambil membawa bunga mangga.
Sementara itu, Syed Saddiq turut meninggalkan komen pada hantaran berkenaan sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan Bella.
“Awh terima kasih kerana turut serta bersama saya. Pembakar semangat yang terbaik,” tulisnya.
