Selepas mencuri perhatian menerusi karya-karya terdahulu, penyanyi dan pelakon Fazura kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya yang berjudul Kisah Terbaik.
Tampil sebagai sebuah balada yang sarat emosi, lagu tersebut mengangkat tema penerimaan, kekuatan diri serta harapan untuk terus melangkah ke hadapan.

Menurut Fazura, Kisah Terbaik bukan sekadar berkisar tentang cinta, sebaliknya membawa mesej yang lebih universal mengenai penerimaan terhadap setiap pengalaman hidup yang membentuk diri seseorang.
“Bagi saya, Kisah Terbaik bukan sekadar tentang cinta, tetapi tentang menerima setiap pengalaman yang membentuk diri kita.
“Walaupun ada kisah yang menyakitkan, akhirnya kita sedar semuanya hadir dengan hikmah. Saya harap lagu ini dapat menjadi teman buat sesiapa yang sedang melalui fasa untuk melepaskan dan memulakan lembaran baharu,” katanya.

Kolaborasi Bersama Aiman Sidek dan Reza Ramsey
Lagu tersebut merupakan hasil kolaborasi Fazura bersama komposer, penulis lirik dan penerbit, Aiman Sidek serta Reza Ramsey.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, proses pembikinan lagu berkenaan berlangsung dalam suasana yang terbuka dan penuh kepercayaan sehingga setiap emosi dapat diterjemahkan secara jujur ke dalam karya tersebut.
“Prosesnya sangat jujur dan terbuka. Kami banyak berbincang tentang emosi yang ingin disampaikan, dan Aiman serta Reza benar-benar memahami apa yang saya ingin luahkan.
“Mereka memberi ruang untuk saya berkongsi pandangan dan pengalaman, jadi lagu ini terasa sangat peribadi dan ikhlas,” jelasnya.
Dari sudut susunan muzik, Kisah Terbaik menampilkan elemen sinematik dengan perkembangan emosi yang semakin memuncak, sekali gus melengkapkan penceritaan menerusi liriknya.
“Saya rasa lagu ini mempunyai perjalanan emosi yang sangat indah. Ia bermula dengan rasa yang lembut dan rapuh, kemudian berkembang menjadi lebih besar dan penuh harapan.
“Susunan muziknya benar-benar membantu menghidupkan setiap emosi dalam lirik. Bagi saya, inilah antara karya yang paling matang dan paling dekat dengan diri saya,” katanya.
