Pelakon Anzalna Nasir mendedahkan dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram dalam tempoh seminggu. Bagaimanapun, penurunan berat badan itu bukanlah disebabkan amalan diet seperti yang disangka ramai.
Menerusi perkongsian di Threads, Anzalna atau nama penuhnya Nur Anzalna Md. Nasir, 38, berkata berat badannya sebelum ini meningkat sehingga mencecah 51 kilogram sebelum kembali susut kepada 45 kilogram selepas hilang selera makan akibat tidak sihat.

“Agak-agak apa? Saya berjaya turunkan berat badan dalam masa seminggu.
“Hari itu asyik cakap dekat orang berat saya tiba-tiba naik sampai 51 kilogram. Itu dah kira berat masa mengandung dah.
“Baru terfikir nak mula diet, sekali seminggu tak sihat terus hilang selera makan. Bukan diet tau!
“Akhirnya secara automatik turun balik ke 45 kilogram,” katanya.

Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata itu memaklumkan dia kini mahu kembali mengamalkan gaya hidup sihat selepas keadaan kesihatannya semakin pulih.
“Apapun, sekarang masa untuk kembali berada di landasan yang betul, kekal sihat dan bersinar. Insya-Allah,” ujarnya.
Sumber: Threads
