Selepas tujuh tahun menyepi daripada dunia lakonan, pelakon Azar Azmi kembali menghiasi kaca televisyen menerusi drama bersiri terbaharu, Bulan Henti Bicara, yang mula bersiaran malam ini menerusi slot Megadrama Astro Ria.
Pengumuman mengenai pembabitannya dalam drama tersebut yang dibuat pada Mei lalu menerima perhatian ramai. Malah, video pengumuman terbitan Bambam Studios meraih lebih sejuta tontonan di TikTok dalam tempoh kurang 24 jam.

Pencapaian itu sekali gus membuktikan nama bekas peserta Dewi Remaja sezaman Neelofa dan Anzalna Nasir itu masih mendapat perhatian serta mempunyai pengaruh dalam industri hiburan tempatan.
Lebih menarik, Azar diberikan watak Faziah yang sarat dengan emosi dalam naskhah yang mengetengahkan isu kekeluargaan, kasih sayang, pengorbanan dan penderaan rumah tangga.
Menurut Azar, dia mengambil masa selama seminggu sebelum bersetuju menerima tawaran membawakan watak tersebut kerana menyedari cabaran yang perlu digalas.

“Saya mengambil masa seminggu untuk memberi jawapan menerima watak Faziah yang diberikan.
“Untuk jadi Faziah bukan mudah kerana dia mengharapkan kasih sayang tetapi tidak dapat.
“Untuk menerima watak ini, saya diyakinkan sendiri oleh penerbit, pengarah dan pasukan kerja.
“Alhamdulillah saya dapat bekerjasama dengan kak Eyra yang sangat membantu untuk membentuk seorang Faziah,” katanya.
Bulan Henti Bicara mengisahkan perjalanan hidup Zulfa yang terperangkap antara tanggungjawab sebagai anak yang taat kepada bapanya dan sebagai isteri yang menjadi mangsa penderaan mental serta fizikal.
Dalam usahanya mempertahankan maruah dan kebahagiaan keluarga, Zulfa perlu berdepan pelbagai ujian yang menguji kekuatan hati, kepercayaan serta harga dirinya.
