Pelakon Izara Aishah tampil menjawab dakwaan seorang individu yang menuduhnya bersikap sombong dalam satu kejadian di sebuah lif.
Menerusi perkongsian di media sosial, individu berkenaan mendakwa Izara menjeling ke arahnya ketika dia ingin memasuki lif untuk menuju ke konsert Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut individu itu, ketika kejadian, Izara bersama pengurusnya sedang menjalani sesi fotografi di dalam lif berkenaan.
Mengulas dakwaan tersebut, Izara menjelaskan sekiranya situasi itu benar-benar berlaku, kebiasaannya dia akan berasa terkejut dan malu apabila sesi bergambar terganggu secara tiba-tiba.

“Tak bagi masuk lift pula. Fitnah apa ini. Selalu kalau kantoi pintu lift terbukak masa tengah beria posing, saya akan terkejut dan malu tak tau nak letak muka kat mana. Saya hanya mampu tengok dinding.
“Selalu yang akan kena jeling dengan saya ialah crew saya,” katanya.

Dalam pada itu, Izara turut meluahkan rasa hairan terhadap individu berkenaan yang mendakwa mengenalinya tetapi masih mempersoalkan identitinya.
“Jangan la sombong, tau la saya Izara Aishah sahaja tapi bila dah kenal saya siapa, kenapa tanya lagi ‘kau siapa’. Kau itu siapa yang aku nak bersombong-sombong,” ujarnya.
