Pelakon dan pengacara, Sharifah Shahirah, tidak dapat menahan sebak ketika menghadiri majlis pelancaran single pertama anaknya, Odda berjudul Gelanggang Rasa yang berlangsung pada Selasa.
Menurut Shahirah, sebagai seorang ibu, dia berasa bangga apabila melihat anaknya berjaya melancarkan karya sulung sekali gus merealisasikan minat yang dipupuk sejak kecil.

“Saya agak sebak tadi lebih-lebih lagi ketika sesi bacaan doa. Sebelum ini, ayat saya hanya biasa sahaja ketika berdoa. Bila ustaz sebut nama Odda, itu yang jadi lagi sebak.
“Terima kasih Datuk Seri Siti Nurhaliza. Pada usia sekarang ini, kita jadi mudah tersentuh. Saya rasa sangat bangga dan tak sangka,” katanya.
Shahirah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single Gelanggang Rasa yang berlangsung di Ideas Hotel, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, penyampai radio Sinar FM itu turut berkongsi bahawa momen istimewa yang dilalui Odda mengingatkannya kepada kisah pemain bola sepak Sepanyol, Lamine Yamal yang pernah dimandikan legenda dunia, Lionel Messi ketika masih bayi sebelum muncul sebagai bintang bola sepak.

Menurutnya, dia turut teringat bagaimana Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sering mendukung dan menatang Odda ketika anaknya masih kecil.
“Bila lihat momen Odda ini, saya terus teringat pada Lamine Yamal yang pernah dimandikan oleh Messi ketika dia masih bayi. Kemudian, dia pula menjadi bintang dunia.
“Sama juga seperti Odda, ketika masih kecil, Siti selalu tatang dan timang. Saya ingatkan Odda ini hanyalah anak yang biasa sahaja. Kini, dia juga jadi seorang yang luar biasa.
“Majlis cukur jambul dan hari lahir pun Siti akan ada. Jadi, saya nak syorkan kepada para ibu bapa, bawalah anak-anak jumpa ustaz atau sesiapa sahaja yang awak idolakan dan minta mereka belaikan,” selorohnya.
Bersyukur Odda Sertai SN Legacy
Pada masa sama, Shahirah meluahkan rasa syukur apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza sudi menerima Odda sebagai artis di bawah naungan SN Legacy.

Bagaimanapun, dia menegaskan segala peluang yang diperoleh anaknya hari ini adalah hasil usaha, minat dan kesungguhan Odda sendiri yang telah dipupuk sejak kecil.
“Saya juga terharu kerana Siti sudi menerima Odda sebagai artis di bawah naungan SN Legacy. Namun, segala yang berlaku ini atas usaha Odda juga.
“Ini perkara yang dia suka sejak kecil. Mungkin dia sudah perhatikan kerja-kerja ibunya sejak kecil. Bila dia sudah minat, saya minta dia teruskan sahaja.
“Saya faham DNA saya tergedik-gedik. Dia bukan DNA Siti. Saya tak boleh nak tutup mulut orang,” ujarnya.

Shahirah turut berharap agar Odda terus menikmati proses pembelajaran sebagai anak seni dan sentiasa memperbaiki diri.
“Odda mungkin sukakan genre yang lebih arah remaja dan karya yang ringan. Namun, ketika ini dia masih menjalani latihan vokal. Perjalanannya masih jauh. Jadi, kita try and error dahulu.
“Jika lagu ini diterima, alhamdulillah. Kalau tidak, kita cuba lagi. Perjalanannya masih panjang. Ini baru bahagian pertama,” katanya.
