Pelakon dan pempengaruh media sosial, Norreen Iman, mendakwa dirinya menerima pelbagai provokasi serta tuduhan fitnah yang timbul sejak kebelakangan ini.
Menerusi satu perkongsian di Threads, Norreen bagaimanapun menegaskan segala tuduhan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan perubahan yang dilakukan dalam kehidupannya.

“Provokasi semakin menjadi-jadi. Banyak tuduhan fitnah yang tercetus. Semua perkara ini berlaku dan tiada satu pun berkaitan dengan perubahan yang saya lakukan.
“Begitulah dunia media sosial. Teruskan tersenyum dan kita tidak seharusnya mencari pengesahan daripada orang lain,” tulisnya.

Dalam pada itu, Norreen turut membalas komen seorang netizen yang menasihatinya agar tidak melayan provokasi dan terus memberikan tumpuan kepada kehidupan bersama anak-anak.
Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pihak, kenyataan yang dimuat naik Norreen dipercayai ditujukan kepada bekas suaminya.
“Saya harap dia faham tanggungjawab terhadap anak-anak. Dia boleh hidup seperti apa sahaja dia mahukan hahaha lebih bahagia lebih baik. Tetapi keberanian untuk hidup bahagia dan mengabaikan mereka (anak-anak), sabajap,” tulisnya.
