Penyanyi Shila Amzah mendedahkan berjaya menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram tanpa menjalani sebarang pembedahan, sebaliknya hanya mengamalkan gaya hidup sihat serta berdisiplin dalam menjaga pemakanan.
Menurut Shila, berat badannya kini mencecah 64 kilogram sebagai antara persediaan untuk menjayakan Konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama yang bakal berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 15 Ogos depan.

“Alhamdulillah, memang rasa badan lebih ringan sejak berjaya menurunkan berat.
“Saya memang diet bersungguh-sungguh. Latihan fizikal yang saya jalani sekarang pun dah macam atlet. Apa yang pasti, saya tak potong perut,” katanya.
Shila menjelaskan perubahan itu dicapai dengan mengurangkan pengambilan gula, memperbanyakkan senaman, minum air secukupnya serta mengambil suplemen yang bersesuaian mengikut keperluan tubuh.

“Bila usia sudah melepasi 30 tahun, banyak perkara yang perlu kita beri perhatian, termasuk pengambilan suplemen,” katanya.
Penyanyi lagu Patah Seribu itu berkata, penurunan berat badan bukan semata-mata untuk penampilan, sebaliknya bagi memastikan stamina dan kualiti vokalnya berada pada tahap terbaik sepanjang konsert.
Menurutnya, dia bakal mempersembahkan sebanyak 40 buah lagu pada malam istimewa itu, sekali gus memerlukan persediaan fizikal yang lebih rapi.
“Saya turun berat badan demi konsert kerana akan menyanyikan 40 lagu. Jadi, saya perlu pastikan stamina dan keadaan fizikal berada pada tahap terbaik.
“Dengan berat badan sebelum ini, agak sukar untuk saya mengekalkan stamina dan vokal sepanjang persembahan,” katanya.
Dalam pada itu, Shila turut berkongsi suaminya, Ubai Mz, menjadi antara individu yang banyak memberi dorongan untuk dia mengamalkan gaya hidup lebih aktif.
“Ubai selalu ajak saya berbasikal. Sedar tak sedar, kami sudah berkayuh sejauh 15 hingga 20 kilometer,” katanya.
Walaupun berjaya menurunkan 12 kilogram, Shila mengakui masih belum berpuas hati dan kini menyasarkan berat badan sekitar 60 kilogram.
![Entry 141 : Shila Amzah [LOVE] Live In Malaysia](https://farm6.staticflickr.com/5572/15262200941_330be0aea8_b.jpg)
“Saya sasarkan berat badan seperti ketika mula bertapak di China kira-kira 10 tahun lalu, iaitu sekitar 60 kilogram. Rangka badan saya besar.
“Kalau turun lima kilogram pun memang nampak sangat perubahannya. Pada masa sama, suami saya lapan tahun lebih muda. Takkanlah saya nak cepat nampak tua. Jadi, inilah cara saya untuk nampak lebih muda,” katanya.
Selain Shila, konsert berkenaan turut menampilkan lima artis undangan iaitu Mimi Fly, Hael Husaini, DJ Fuzz, Balan Kashmir dan Kidd Santhe.
