Didi Astillah Perjelas Asal Usul Nama ‘Ara’ Dalam Nama Penuh Bella Astillah
Adik kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah iaitu Didi Astillah tampil menjelaskan kekeliruan mengenai penggunaan nama “Ara” dalam nama penuh kakaknya.
Menerusi satu hantaran di Threads, Didi menjelaskan bahawa “Ara” bukanlah nama yang direka, sebaliknya merupakan nama yang diberikan oleh arwah nenek mereka.

Bagaimanapun, katanya, nama tersebut akhirnya digugurkan kerana nama asal Bella terlalu panjang.
“Tiba-tiba nak label orang menipu. Kadang tergelak pun ada bila baca. Comel!
“Ara itu adalah nama yang diberi arwah nenek yang kita sayang sangat. Tapi sebab panjang sangat, jadi kita buang yang tu,” tulisnya.
Dalam pada itu, Didi turut berkongsi bahawa Bella masih menyimpan rasa kasih yang mendalam terhadap arwah nenek mereka.

Disebabkan itu, Bella memilih untuk menggunakan nama “Ara” sebagai sebahagian daripada nama anak perempuannya, Ara Adreanna, bagi menghargai kenangan terhadap insan yang disayangi.
“Tetapi kaklong memang terlalu sayang dan tak boleh lupakan arwah nenek sebab itu dia akan letak dekat mana-mana.
“Dan bila kaklong ada anak perempuan, terus dia bubuh Ara. Sebab nama itu sangat bermakna,” kongsinya.
Terdahulu, seorang netizen mendakwa Bella menipu mengenai nama sebenarnya selepas mendapati laman Wikipedia memaparkan nama Dayang Ara Nabellah binti Awang Astillah, sedangkan kebanyakan laporan media sebelum ini menggunakan nama Dayang Nabellah Awang Astillah.
